D'TIRAI ANJUNG

Selamat datang ke blog Anjung Puisi. Blog ini menghimpunkan dan menyiarkan karya-karya puisi Melayu moden dan tradisional, artikel tentang puisi Melayu, peristiwa, aktiviti yang berkait dengan puisi di seluruh tanah air dan lain-lain. Moga para pembaca dan menimba manfaat dan memperolehi ketenangan tatkala melayari blog ini. - a. halim ali




Selasa, 29 Disember 2009

SAJAK KUALA LUMPUR

KUALA LUMPUR


He is a person devoid of emotions
Brought up in between stores and hotels
And the noisy traffic chants devotedly
Praising the hustle and bustle of life
Polluted Gombak river and a piece of bitter love
From the Langat river, humming
Chanting eternally, raising praises
rhyming the songs of development
wrapped around your body

Once in awhile hearing the cries of humanity
That is confined within the walls of pride
Seeking escape from the clench of materialism
And the cruelties of time
Chasing thousands of lust
And spoiling millions of opportunities

Some day
I ‘ll acknowledge
From a future voice, hence
Show a portrait of destruction
Framing death colored poverty
Here is where national blooms whither
And the trees of civilization dried snatched by ignorance
eventually collapsed in the debris of materialism
humanity buried in the night cemetery, without tombstone.


Translated by:

Asst Prof. Dr. Mariam Mohamed Nor

Ahad, 27 Disember 2009

PANTUN ORANG BERKASIH

Beringin kering di tepi beranda,
Selasih tua panjang sedepa;
angin berkirim sepi kekanda,
Kasih bergelora rindu nak jumpa.


Buluh perindu bunyinya indah,
Tumbuh merimbun di tepi telaga;
Rindu padamu tak pernah sudah;
Apakah dikau demikian juga?

Rabu, 23 Disember 2009

TUGASAN PELAJAR UKP 6033

Sila ambil perhatian bagi pelajar sarjana UKP 6033

Tugasan sdr/i seperti berikut:-

1. Menyiapkan satu cadangan penyelidikan berkenaan tajuk projek/disertasi anda
40 % (15-20 halaman)
2. Merekabentuk soal soal selidik berkaitan dgn projek/disetasi sdr/i
= 20% (3-4 halaman).
3 Membuat ringkasan bacaan 5 buah buku berkaitan tajuk projek/disetasi sdr/i
= 10% (3 halaman)
4. Pembentangan (cadangan penyelidikan pada no.1) = 10% (power point)
5. Ujian terbuka 10%

Tugasan hendaklah disiapkan dengan lengkap dan sempurna mengikut format yang telah ditetapkan, dan perlu dihantar dalam minggu ke-8
Pembentangan ditetapkan pada minggu ke 9

T. kasih
Abdul Halim Ali

Isnin, 21 Disember 2009

SELOKA APA DAH JADI

Seloka apa dah jadi

Beras segantang dah jadi secupak
nasi segenggam tak sempat bertahan esok
padi di bendang sukar nak masak
beras siam dibawa masuk
beras tempatan mutu tak elok?
untung bernas ! kena-kenalah tengok.

Menatang minyak minyak tak penuh
minyak bercampur sakit amarah
minyak di Kerteh bukannya jauh
naik harga tak pernah bertangguh
minyak yang ada dibawa jauh
mencari untung di musim tengkujuh!
rakyat jelata pula disuruh
berkorban jiwa jangan nak gaduh.

Rumah Melayu lantainya rapuh
bersatu Melayu tak pernah teguh
hebat berkelahi jaguh bergaduh
tak sedar maruah semakin jatuh
batu putih dah hilang sauh
ayam jantang dah patah susuh
pulau pisang masanya tak jauh
jangan kedaulatan dibuat taruh
hina bangsa siapa nak basuh?

Apa dah jadi
gula dan beras harganya naik lagi
harga minyak naik berkali-kali
bernas untung petani yang rugi
pengilang bumiputera boleh dikira dengan jari
wah! bangusnya DEB!
untung semangkuk tapi sebelanga rugi.

Apa dah jadi
tanah kita diambil orang
bukti tak berapa terang!
sejarahpun buat tak pandang
batu putih ditelanjanbg orang
maruah kita panas terpanggang
apa nasib si Pulau Pisang?
ingat!orang Pontian
batu pulaumu dijentik orang seberang.


Digubah pada Dis 2009

Khamis, 17 Disember 2009

PUISI 1 MUHARRAM

Azam dan doaku
(tatkala menjenguk 1 Muharram)

Beranjaklah nafsu
Amal dan perbuatan pimpin bersama
Ke rumah Tuhan
Ajak bersila dosa dan kesilapan
Di laman rumah
Jamulah kesedaran
Santaplah keimanan
Ubatilah kekesalan
Akar kayu dan herba
Sireh dan gambir
Madu dan zam-zam
Dari cangkir wahyu
Hidangkanlah
Inginku tenguk penawar
Menyuci karat di hati
Membebat luka bertahun.

Moga mentari esok
Sinarnya
Gemerlap di langit kasturi.

Tanjung, Malim
I Muharram 1431 H

Ahad, 13 Disember 2009

CATATAN PENYAIR iii

MENGUASAI 5 JENIS GAYA BAHASA

...sambungan catatan penyair ii.

Ada beberapa perkara penting yang perlu diambil ingatan sekiranya anda ingin menulis sajak dengan gubahan yang puitis. Salah satunya ialah perlu mengetahui sekurang-kurang 5 jenis gaya bahasa serta perananya. Lima unsur gaya bahasa itu ialah metafora, personifikasi, hiperbola, simili dan inversi. Metafora ialah sejenis gaya kiasan. membolehkan penyair membuat kiasan secara perbandingan secara tidak langsung. Perbandingan ini dibuat secara berkias. Kiasan lazimnya dinyatakan dalam bentuk yang abstrak. contohnya;
Segunung mimpi - kiasan kepada mimpi yang besar dan hebat.
secangkir waktu - kiasan kepada waktu yang tinggal sedikit sahaja.
helaian kenangan - kiasan kepada kenangan yang ada dalam ingatan.

Metafora jenis ini disebut sebagai metafora yang klise dan kaku. Ada juga metafora yang sifatnya implisit. Metafora jenis ini selalunya mengundang pembaca berfikir dan menganalisis makna di sebalik perbandingan itu. Contohnya;
kesepian meragut makna hidup

Personifikasi: atau juga disebut pengorangan. Gaya bahasa ini membolehkan penyair memberikan sifat-sifat manusia seperti makan minum, bercakap, berlari dan lain-lain kepada sesuatu yang lain. Dengan pemberian sifat itu, sesuatu itu tampak boleh bertindak dan berbuat sebagaimana manusia juga. Contohnya;
malam manarik nafas lelah
sedang rembulan sinis menyindir
sepoi angin membisik pesan

....bersambung.

Ahad, 6 Disember 2009

SYAIR ANAK MERDEKA

Lima puluh tahun negara merdeka
Masa yang lalu dingat sentiasa
Susah derita pejuang bangsa
Menentang penjajah tak kita masa.


Masih kuingat ketika dulu
Bendera berkibar di tangan tuanku
Laungan keramat menusuk di kalbu
Itulah bukti merdeka negaraku.


Tidak sedikit pejuang yang gugur
Berani mereka di medan tempur
Rela berkorban bakti nan luhur
Tersebut namamu terkenal masyhur.


Mereka berjuang kerana bangsa
Semangat tak luntur jiwa perkasa
Jasa pejuang diingat sentiasa
Kita hargai sepanjang masa.


Apa ertinya kita merdeka
Jika fikiran sentiasa leka
Lebih sedihnya ada derhaka
Budaya penjajah itu yang disuka.



Merdeka kita merdeka di minda
Pentingkan ilmu bukannya benda
Tingkatkan usaha berlipat ganda
Kukuhkah iman di dalam dada.


Ingat pesanku anak merdeka
Janganlah alpa janganlah leka
Pertahankan negara sekalipun terluka
Jangan terjajah kali kedua.


Bukti merdeka di tangan kita
Berusaha gigih majukan negara
Tidak mengharap ehsan semata
Membangun dalam acuan kita.


Tingkatkan ilmu dan juga agama
Iman dan amal usahakan bersama
Merdeka kita lebih bermakna
Pertahankan ia selama-lama.


Tanjung Malim, Perak.
Dis 2009

Isnin, 23 November 2009

PANTUN TEKA TEKI (1)

Kali ini saya sajikan serangkap pantun teka teki. Teka teki bertujuan mengujikan kreativiti dan kepintaran seseorang dalam suasana indah bahasa dan menyenangkan fikiran. Teka teki menumpang pada puisi pantun. Teka teki boleh dihadir dalam bentuk pantun dua kerat dan juga empat kerat.Teka teki kita pada kai ini seperti berikut;

Terbang merpati ke puncak awan,
Terbang kenari ke pohon kelapa;
Orang berilmu dipanggil cendekiawan,
Orang mencuri nak panggil siapa?

Ahad, 22 November 2009

CATATAN PERCAKAPAN PENYAIR ii

Puisi itu Indah

Puisi identik dengan keindahan. Kerana itu berpuisi juga bermakna menyampaikan keindahan pemikiran dengan bahasa yang indah. Bukan sekadar pemikiran dan bahasa yang indah, tetapi perutusan yang disampaikan juga tampak kesan keindahannya. Seorang penyair romantisisme iaitu Coleridge S.T. menyatakan, bahawa puisi itu ialah kata-kata terbaik dan susunan terbaik.Dari satu sudut saya bersetuju dengan pandangan ini....bersambung.

CATATAN PERCAKAPAN PENYAIR i :

Menulis puisi kerja menyeronokkan


Acapkali saya disuakan dengan persoalan dalam kalangan siswa siswi dan juga orang awam tentang kesukaran untuk menghasilkan sajak. Susahlah nak cari perkataan-perkataan yang cantik-cantik dan nak susun nampak cantik. Kata seorang staf di perpustakaan Tuanku Bainun UPSI. Bila dah banyak kali tak dapat buat mulalah rasa boring. Katanya lagi dengan nada putus asa.
Saya faham keluhan staf itu. Bukan mudah nak cari, nak gubah dan dan tenunkan kata-kata indah. Ada sesetengah orang penyajak, kebolehan itu sememangnya dianugerah Tuhan. ADa sesetengah orang yang lain, memang diusahakannya, baik melalui bengkel-bengkel penulsan atau juga kebiasaan-kebiasaan yang ditadatkan.
Sukar nak mencari kata-kata indah itulah yang bagusnya. Kita menjadi lebih kreatif dan sentiasa didorong. Bila dapat satu atau dua patah perkataan yang dikira baik dan sedap itu pun dah cukup. Keseronokan itu bermula tatakala keindahan mudah hinggap di hati kita terhadap perkataan-perkataan tertentu. Ambil contoh;
Kita berasa kecewa kerana tidak dapat menjalankan tugas dengan baik, tetapi semangat tetap ada dan kita tidak berasa kalah dengan kekecewaan itu. Untuk menterjemahkan kekecewaan itu dalam monolog, maka harus dicari, dicanai, digubah dan ditenun kata-kata tertentu yang boleh membawa suara hati yang kecewa itu. Umpamanya perkataan berkecai, terlerai, segunung, impian,luka, balut, doa dan lain-lain. Kemudian susun dan tenun perkataan itu dalam baris dan rangkap. Mungkin ia jadi begini;
segunung impian berkecai
luruh terlerai
kubalut/kubebat luka semalam
dengan doa kasturi
dengan zikir bertahun.

SAJAK 3: SAJAK WIRA-WIRAWATI PLKN

Aku bangga berada di sini
(sebuah kem tempat aku kenal harga diri)


Semilir angin dari daerah pusaka
lembut menyentuh jantung anak-anak bangsa
suara pertiwi membisik kata undang
suara perkasa meminta amanat negara dijulang
ibu ayah doakan buatku
restumu membalut teguh azamku.

tangan ini kuhulur
menyambut tali kudrat mengikat tiang seri negara
langkah ini kuatur
buat menjejak warisan pahlawan bangsa
lenturkanlah hati dan peribadi dengan pekerti
kami ingin menjadi manusia yang berbakti
menghias barisan hadapan
dengan teguh jatidiri.

Aku bangga berada di sini
Menimba pengalaman dalam warna warni mentari
Menyusun tangan dalam derap langkah
Tekad yang satu, niat yang jitu
Dada ini kuisi dengan api, air dan batu
hati ini kukejapkan dengan iman dan ilmu
minda ini kutanam pokok cinta tanah airku
aku wirawan wirawati tiang seri
meneguhkan masa depan negara bangsaku.

Dalam deru suara nyaring yang membisik
sesekali mega tekadku bergoncang di sini
Hati bergetar tatkala menempuh sasar
Menyusur Liku perjalanan meredah masa berbulan
Adalah laut pengalaman yang dalam
Aku tidak rela lemas dalam gelora rasa
Menghitung peraturan demi peraturan
Mengira susah payah mencari arah
Berkira-kira dengan perhitungan nafsi
Terbinakah di tengah gelanggang
Seorang aku wira wirawati bangsa yang berjasa?

Detik berlalu mengajar aku
Menjadi lebih tahu
dari tahuku yang dahulu
tentang manis pengalaman
tatkala bersusah payah bersama rakan taulan
tentang pahit maung meredah kesusahan
mengajar aku erti sebuah kehidupan,
Keyakinan kian teguh
Keazaman membiak tumbuh
Kecekalan tak pernah lusuh
Aku di sini laksana pahlawan kehausan musuh.

Kususuri langkah dengan daya fizikal
Langkahku diatur dengan tertib atur
Ke kiri ke kanan, pusing dan ke belakang
Arah menjadi tujuan, berjalan dalam sopan
Bergaya laksana sebaris sastriawan
Membenteng menghadang sedia melawan.

Panorama kesukarelaan
Adalah pelangi yang hidup
dalam kehidupan Komuniti setiakawan
warna perpaduan bersinar dalam modul IntegrasI,
aku temui diri di sebalik karenah pelbagai budi
anak bangsa yang berbeza warna hati
menjadi satu dalam rukun intergrasi.

Aku bangga berada di sini
Sebuah kem yang mengajar aku kenal harga diri
Tahu menilai tanah tumpah
Tahu mengira tinggi rendah langit yang dijunjung
Naluriku tersulam dengan citra kenegaraan,
Di baja dengan didikan kerohanian,
Betapa tinggi nilai murni tak tergapai tangan
Tak terungkap kata puji
Tak terkira hitungan jasa bakti
Aku benar-benar rasa diri ini dihargai.

Aku bangga menjadi Wira wirawati negara
Berjanji menumpahkan khidmat bakti
Bahawa tanah air ini
Jasad dan nyawakulah sebagai galang ganti
Kusahut cabaran
Bergandingan meneguhkan membela pertiwi
Dalam rukun setia, dalam satu semangat
dengan satu tekad dalam serumpun hasrat
Malaysia negaraku kekal berdaulat.


Karya,a halim ali
Kem PLKN Ayer Tawar
Lumut, Perak.

Sabtu, 21 November 2009

PUISI 2 : SAJAK KEPADA PENGANTIN

Jangan takut pada gelita malam
(Pesan kepada pengantin pada malam pertama)



Tidak seperti malam-malam yang lalu
Malam ini kau tidak perlu lagi takut pada gelapnya
Cahaya gemerlap dari bukit seguntang
Tidak sekadar menukar hijau padi wan empuk wan malini
Menjadi emas segunung bistari
Hingga sedaya gunung maha meru
Merawang warna kekuningan mencecah awan
Menabir laut hindi hingga ke rantau balkhan.

tetapi gemerlap dari pundai pelamin
telah menukar gelita malam
menjadikan sebuah kehidupan terang gemerlapan
tanah datar yang menghampar belantara
bertukar menjadi pantai rindu
riak gelombang yang membadai di lautan
reda tatkala ijab dikabulkan.

Aduhai pengantin di ambang malam
Kau mungkin tak kenal bukit seguntang
Dan gunung meru tempat bertaut sakti terbilang
Tapi hari ini telah terbentang sebuah malam
Yang bertukar menjadi terang benderang
Gemilang cahaya menyentuh igauan
Menambat sejuta rasa

Jangan takut pada gelita malam
Kerana ia adalah penyimpan rahsia paling setia
Perihal kamu berdua.

Karya, a.halim ali
UPSI
2009

PUISI 1 : SAJAK KEPADA PENGANTIN

Antara pesan dan ingatan


terbentang hamparan hidup
di tepi laut cabaran
sebagai tempat kau menyulam budi
dengan pasir pantai
sebagai tempat kau menyimpul tali keakraban
dengan percikan badai
pintallah ikatan setia
antara ombak dan badai
ombak dan badai adalah kau berdua yang disatukan.

Katakanlah hai si isteri pada suamimu
akan kupupuk benih cinta
tatkala malam berlabuh di musim bahagia
sebagai tanda kasihmu yang memanjang
sayangmu yang tak berkurang
tanda dirinya yang kau cintai seorang.

Katakanlah hai si suami pada isterimu
Akan kuhindar rasa sangsi dan cemburumu
Akanku pelihara tulus budi dalam keyakinanku
Akan kudinginkan hatimu tatkala panas membara
Akan kudamaikan jiwamu tatkala resah membadai
Akan kuhiburkan sunyimut atkala sepi beradu
Akan kuhimpunkan kasih sayangmu
dalam kesetiaan dan ketulusanku.

Kepada si suami dengarlah pesanku;
usaha kau bangga dengan kehebatan
menempuh gelombang di lautan
kerana ia tidak mampu
memberanikan langkahmu menjengah ombak
yang membadai dalam gelora rumah tangga.

Usah kau hitung
dosa yang berpasir di hati isterimu
kerana ia tidak dapat menambah ketaatan
tatkala kau memerlukan.

Tapi, jangan sesekali kau tunduk
membiar runtuhnya ikatan
merela perselisihan berpanjangan
kerana, secerbis kesilapan
tidak berupaya menghalang
hadirnya perpisahan.

Dengarlah si isteri pesanku;
kau akan harungi perjalanan ini bergandingan
lembutkan jemari pautkan di hati suami
imbangi langkah agar tidak mendepani
simpulkan tutur bicara dalam raut wajah ceria
agar teguranmu tidak mendarah luka.

Kau akan hidup susah senang dengannya
lebihkan sabar dalam timbangan rasa
luaskan jalan perbincangan tika bersengketa
pohonlah kemaafan jika terlanjur kata
suami itu seorang manusia perasa.

Engkau akan menjadi pendidik yang tak henti belajar
tentang pahit rasa kemanusiaan dan
masam manis kehidupan; tentang
sulitnya perhubungan dan getirnya perselisihan
darinya kau kan tahu betapa dalam dan tinggi nikmat
bila hidup dirawang kebahagiaan
rindu tatkala berjauhan
dan pedih kehidupan bila berlaku perpisahan.

Kudoakan kau diberkati Tuhan
Cahaya indah berseri alam
Bahagia hidup kalian sepanjang zaman.

Karya: a.halim ali
UPSI