D'TIRAI ANJUNG

Selamat datang ke blog Anjung Puisi. Blog ini menghimpunkan dan menyiarkan karya-karya puisi Melayu moden dan tradisional, artikel tentang puisi Melayu, peristiwa, aktiviti yang berkait dengan puisi di seluruh tanah air dan lain-lain. Moga para pembaca dan menimba manfaat dan memperolehi ketenangan tatkala melayari blog ini. - a. halim ali




Ahad, 8 April 2012

SAJAK: KEMBALI KE AKAR LELUHUR

Ya! kita masih tidak lupa Hang Tuah
Setia pada raja tidak terkira
Sanggup berbuat apa sahaja
Melawan musuh di pelusuk nusantara
bersedia membunuh walau teman setia
demi raja
Sanggup melarikan anak dara
Bendahara indrapura
setia Hang Tuah tak bermata.

Ya! masih segar dalam ingatan kita
Hang Jebat yang dikatakan hebat
sanggup menentang raja
demi keadilan untuk teman setia
habis gundik raja dikerjakan
berapa banyak orang tak berdosa dikeriskan
berani Hang Jebat tak bermata
Aakhirnya mati di tangan orang yang dibela.

Datuk Bendahara, ah! Ramai yang lupa
dia orang kepercayaan baginda
dalam lembut diplomasi menipu raja
Hang Tuah tidak dibunuh
pada hal dia dititah membunuh
derhaka dia, tetapi diampun raja!

Jauh daripada mereka bertiga
ialah Pak Kaduk yang dituduh bodoh
menukar ayam pada raja
ayamnya menang tetapi kampung tergadai
Setia Pak Kaduk dan Han Tuah pada raja
serupa sahaja
masing-masing patuh buta
Lebih pak Kaduk tidak membunuh teman setia
tidak pula menentang raja
apalah ruginya hanya dengar seekor ayam
yang diberikan pada baginda
berbanding darah yang ditumpahkan Tuah
tercela dan berdosa
Pak Kaduk tidak berbuat dosa
Tidak pula mengerjakan gundik raja.

Lebai Malang juga dibuat cerita
kononnya rugi di hulu rugi di hilir
dapat sisa tulang pun dianggap malang
tapi lebai berasa bahagia kerana
dia tak pernah makan rasuah
atau curi wang rakyat berjuta
atau menaiki jet mewah
dan kereta lamborgini untuk pergi kenduri
sekadar kayuh perahu dengan kudrat sendiri
dia tetap penuhi undangan kendiri
di hulu dan di hilir rezeki bukan ditentukan
subsidi.

Lalu,kembali ke akar leluhur
bukan bermakna menilik watak Hang Tuah
untuk dipuja
bukan juga mengambil keberanian Hang Jebat
untuk dibuat dipuji
tidak juga Pak Kaduk, tidak juga Lebai malang
Datuk Bendarhara jauh sekali.


Kembali ke akar leluhur
bererti berhijrah daripada kesetiaan buta
kepada benar yang nyata

Kembali ke akar leluhur
bermakna beralih dari keberanian di mata
kepada pertimbangan di jiwa.

Akar leluhur itu sumur tempat ditimba
kebenaran dan kebijaksanaan,
tanah subur tempat tumbuh pohon diri
ranting-ranting berbunga pekerti
dahan sasa meneguh perdu bangsa.

4 ulasan:

  1. Saya takut nak baca sajak yg terlalu panjang. Serasa menentang arus: kekok, susah dan mudah tergelincir. Masih mencari..

    Maaf,.. Saya selalu membaca dengan mata tertutup...

    BalasPadam