D'TIRAI ANJUNG

Selamat datang ke blog Anjung Puisi. Blog ini menghimpunkan dan menyiarkan karya-karya puisi Melayu moden dan tradisional, artikel tentang puisi Melayu, peristiwa, aktiviti yang berkait dengan puisi di seluruh tanah air dan lain-lain. Moga para pembaca dan menimba manfaat dan memperolehi ketenangan tatkala melayari blog ini. - a. halim ali




Isnin, 22 Mac 2010

JENGUKLAH KEMBALI MATLAMAT MEMBANGUNKAN DIRI

Jenguk kembali matalamat kita membangun diri

i
aku bermula dengan pertanyaan begini;
tidakkah tergulit belas kasihan
dalam sibuk memikir gaji beribu
ada keluarga sebangsamu di ujung desa itu
makan berkais pagi
tidur berlantai ngeri
hajat anak-anak ke universiti tersadai
di birai sawah padi
kita masih selesa berkhutbah
soal rezeki dan pendidikan bestari
tapi lupa harga padi yang susut setiap hari
lupa tentang tanaman yang sering tak menjadi
yuran itu ini yang kian tinggi
kita menjadikan mereka
pengemis abadi.

aku tahu sememangnya kau tahu
kita menafsir keupayaan diri dari
puncak bangunan tinggi
menilai nasi beriani dengan secupak padi
kasut clark dengan getah sekerap
lamborgi dengan basikal roda tak berlidi
menilai banglow dengan gubuk jerami

kita salah menafsir realiti.
kita silap meneka peribadi.

masih belum mengertikan kita?
pembangunan bukan setakat
meninggikan rumah batu
memperbanyakkan menara menyentuh awan
atau canggihnya teknologi di hujung jari
atau kuatnya pengaruh kita menambat hati pengundi
atau banyaknya negara luar kita lawati
atau banyaknya kilang industri
atau lajunya LRT!


perhitungan kita sering meletakkan
akhlak, agama dan peribadi di tepi
yang kemudian sekali diambil peduli
bila kilang baru nak dirasmi
ustaz dipanggil membaca doa
supaya industri maju, ekonomi menjadi.

hari ini
kita terpaksa memungut
puluhan bayi yang tersadai kaku dibuang
di kaki lima dalam sampah dan alur sungai
berbalut kain lusuh dan berulat
itu hadiah bebas pergaulan
itu hadiah kerana melebihkan duniawi
itulah hadiah kerana meletakkan akhlak
agama dan pekerti di tepi.

hari ini
kita dikepung teknologi dari segenap segi
informasi di hujung jari
dunia sudah ditakluki
tetapi manusia kian jauh dari pekerti
agama hanya sekadar hiasan nama dan identiti
tuhan diingat sekala sekali
bila nak kahwin, sambut raya
nak pergi haji
atau mengurus orang mati.

hari ini anak gadis berani menendang ibu sendiri
murid perempuan bergusti dengan guru sendiri
anak lelaki membunuh ahli keluarga sendiri
guru merogol anak murid sendiri
anak luar nikah menjadi-jadi
dadah bohsia, bohja itu cerita basi
rasuah, pecah amanah dan keluar parti
orang politik sibuk menjadi diri daripada
menjenguk pengundi
ambil tahu pasal padi tak menjadi
ambil tahu anak-anak kampung nak mengaji
nak masuk universiti tak cukup subsidi
sibuknya mereka
bercakaran tak pernah henti
akhlak mereka banyak yang tak boleh dicontohi.
menyesal kerana memberi mereka undi
tapi tunggu, PRU 13 nanti
mereka pasti tahu nilai dan harga satu undi.

jenguklah kembali matlamat kita membangun diri
apakah cukup dengan hanya ingin sentiasa tinggi;
dalam teknologi
dalam industri
dalam ekonomi
saham dan menang anugerah inovasi
atau tinggi dalam merebut undi
memikirkan majoriti
mengangankan kepentingan peribadi
dalam tak sedar
kita telah banyak kehilangan identiti
kita kehilangan maruah diri
kita kehilangan jati diri
orang lain pula yang mengaut untung berkali-kali
tatkala kita bercakaran sesama sendiri.

sudah
sudahlah
aku sudah bosan dengan laungan;
kita perlu maju, tetapi bangsaku
ketinggalan dalam segenap segi
ekonomi bertaraf global
tetapi petaniku tetap seperti sedia kala
membajak sawah dengan kerbau tua
kita mesti mempertahan peradaban bangsa
tetapi bahasa dan sastera kita tak menjajak di jiwa
kita perlu menjadi muslim sejati
tetapi diisi dengan minda sekular
kita perlu menguasai ilmu pengetahuan
tetapi dihidang dengan kebendaan
kita perlu bersatupadu
tetapi membuka luas pintu perkauman
kita perlu menjadi satu ummah
tetapi membuka banyak lubang fitnah.

ii
Aku sudahi dengan pertanyaan;
kaburkah pandanganmu
tatkala menilik realiti?
silaukah matamu
tatkala menafsir ilusi?

a halim ali
UPSI.
17.3.2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan