D'TIRAI ANJUNG

Selamat datang ke blog Anjung Puisi. Blog ini menghimpunkan dan menyiarkan karya-karya puisi Melayu moden dan tradisional, artikel tentang puisi Melayu, peristiwa, aktiviti yang berkait dengan puisi di seluruh tanah air dan lain-lain. Moga para pembaca dan menimba manfaat dan memperolehi ketenangan tatkala melayari blog ini. - a. halim ali




Khamis, 10 Februari 2011

SAJAK TERBAHARU

Kisah seorang kawan dengan isterinya.


ISTERI


dia adalah cermin di dinding
diletak paling tinggi
tempat suami menilik peribadi
dan mengenal diri,
membaca mentara puji
dan jampi penyejuk hati.

setiap hari
anak-anak menyisir kematangan
sebelum melangkah kaki pergi
dan pulang dengan kusai peribadi
kemudian memperelokkan kembali
di hadapan cermin setiap pagi.

selama berada di situ
dia jarang kenal diri
melainkan pada suatu hari
tatakala dia jatuh ke lantai
dihentak kaki suami
yang mahu menukarnya
dengan cermin
yang baru dibeli.


Tanjong Malim
2.2.2011

Khamis, 27 Januari 2011

TERJAGA

Terjaga

Tiba-tiba saja
Ada orang terjaga
Dari tidur panjang di klang
Setelah membaca bahasa interlok
kebenaran menikam jantung
emosi pun mengalir darah
menyalakan api amarah.

Di rumah pena
Ada yang sudah lama terjaga
Dan membasuh ilusi dengan bukti
Bahasa dibawa ke meja dan ke rumah menteri
rupanya menteri masih lena dengan mimpi
dan belum bangun menjenguk realiti
bahasa dan bangsanya dimamah api.

Gapena pun terbangun
Dalam igaun mengesat mata
Dia menjenguk jendela
Api sudah lama menyala
Membakar bahasa di Kpg Raja

Di sana sini
Ramai orang terjaga
Dan mahu bersuara dan sedar
Maruah bangsa bukan setakat
Raja dan kuasa
Tetapi bahasa yang mengalir
dalam jiwa dan pedih di mata.

a halim ali
Tanjong Malim
24.1.2011

Ahad, 16 Januari 2011

SAJAK TERBAHARU

BAKAR


Bukan payah
membakar interlok
ia daripada kertas mudah terbakar.

Hari ini gambar sasterawan Negara
pemimpin politik
dibakar
ia juga kertas
mudah terbakar.

Tak terfikirkah
kepulan asap interlok yang hangus
Jika tidak dipupuk
meresap ke seluruh dada estet
dan membakar
dalam diam.


Tnanjung Malim
13.1.11

Khamis, 30 Disember 2010

DOKTOR BEDAH

Doktor bedah


dengan hati kemanusiaan
dia membelah membedah manusia
tanpa rasa kemanusiaan.


Nukilan
a halim ali
UPSI
30 Dis 2010

Khamis, 9 Disember 2010

SAJAK SEMPENA MUHARRAM

MUHARRAM

Muharram
sesampai detik waktu menyentuhi birai tanggamu
kubuka kembali lembaran sejarah awal tahun
lewat pertemuan kita yang syahdu
tersingkap tabir sejarah dua belas bulan yang berlalu
setelah setahun berpisah
Zulhijjah pun mula menyepi
kuharap kali ini aku tidak kecewa lagi
kerana membiarkan masa yang pergi
kosong tak tak berganti
sedang aku masih di sini
menyesali waktu yang berlalu
menangisi ruang kosong kesempatan
yang banyak tak terisi.

Kesempatan bertemumu adalah rahmat Tuhan
kasih sayang-Nya yang sukar dimengerti
kerana dalam waktu Dia kulupai
dalam waktu suruhan-Nya kuingkari
dalam waktu dosaku yang kian meninggi
dalam waktu larangan-Nya tak kupeduli
Dia masih merestui pertemuan ini.

Maafkan aku
kiranya suci gerbangmu yang terkembang
tiba-tiba menjadi pudar warna
gemerlap sinar kesucian
malap terpalit dosa yang kubawa.

Muharram
seperti tahun-tahun dahulu tatkala kita bersua
izinkan sekali lagi kudamparkan
resah piluku di dadamu
penyesalanku di kamar hatimu
air mataku ke tengah malammu.

Aku tidak silu menyatakan sesalku
tidaklah juga terlalu keras hati
sehingga tidak mahu menerima hakikat diri
jauh sekali untuk tidak mengakui kesalahan diri
aku manusia biasa
tidak sunyi dari melakukan dosa
tidak sepi dari terlupa.

Muharram
tanah subur pada permulaan musim sejarah
tempat membaja benih taqwa
dataran terbuka amal kebajikan
bukakanlah lembayun rahmat Tuhan
bentangkan hamparan keampunan-Nya
agar dapat kupersembahkan penyesalan
supaya dapat kugapai wangi Firdausi.

Citra Kehidupan (2005)


nukilan
a halim ali
Tanjong Malim.

Sabtu, 20 November 2010

SAJAK TERBAHARU

SEPANJANG PERJALANANKU KE RUMAH-MU
(Kuserahkan isteri dan anak-anakku dalam peliharaan-Mu)


Jauh dari rumah kecilku
jalan terbuka luas ke anjung Rumah-Mu
lurus mengufuk cahaya Syurga
kususun jejak hati yang retak
dalam himpunan doa bertahun.

Sepanjang perjalanan
kubawa diri bersama resah hati
bersama luka peribadi
dalam gersang iman
kuintai cahaya Syurga
yang memancar dari serambi Rumah-Mu
kuserahkan isteri dan anak-anakku
dalam Peliharaan-Mu
sampai waktu aku kembali
dengan Izin-Mu.

Tuhan
kususuri perjalanan
menuju Rumah-Mu
dengan lapang dada
dengan manis rasa
bekal iman yang sisa ini
akan kugenapkan di Multazam
dalam sempurna rukun tawaf
Sa’i di Safa dan Marwah
dan tahallul penyudah.

a halim ali
UPSI Tanjung Malim.
Mingguan Malaysia 21/11/2010

Jumaat, 8 Oktober 2010

SAJAK: CITRA PELANGI 1 MALAYSIA

Citra pelangi 1 Malaysia

Kita berfikir tentang sejuta mimpi
yang tumbuh rendang
dari lena dari tidur dari sepi malam
mari kita himpunkan angannya
menjadi mentari pagi.

Kita menyulam sejuta jiwa
yang bergetar dalam riak rasa berbeza
menjadi sebuah lagu cinta
lirik perpaduan seni senegara
rentak fikir bersama berpadu
inilah muzik satu hati sejiwa
rumpun pelbagai bangsa satu bahasa
berlagu senada menari langkah sekata.

Kita menghulur jemari hati
menghantar pesan seloka
mengirim diksi dari langit
mentera dari rumpun Melayu
air mawar dari sumur nusantara
satukan menjadi jamu cinta
kita santap dalam pentas terbuka
di anjung pelbagai sejuta budaya
duduk-duduk berlamalah di sini
sambil mengayam citra pelangi
di wajah 1 Malaysia,
kelak kita menjadi lebih faham
perlunya berfikir dan bertindak
dalam bersatu,
berbeza dan berselisih itu boleh
tetapi kemudian bersatu
tanah air kita tiada dua
hanya satu.


a halim ali
Tanjong Malim, Perak.
8 Okt 2010