MASAM MANIS 20 TAHUN YANG LALU
(buat Tini, isteri dan teman tersayang:
mengenang 20 tahun usia perkahwinan kita)
Tanggal 8.11.1992, 20 tahun lalu
pertama kali dahimu kukucup
setelah
ijab mengangkat tabir malumu
sungai madu pun mengalir perlahan,
dan
alam pun menghantar resah ke kamar
seperti anak-anak di bangku sekolah
sukar sekali menulis rasa di alis mata
sukar benar melukis bahagia dengan bicara
dua tapak tangan kubuka
meraut kasihmu yang tumpah
dari hati
ke ujung kaki.
Tanggal 9.11.1993
saat getir kau melahirkan anak pertama
kesakitan yang manis dan manis yang indah
mengiring kehadiran Abdul Muiz masuk ke dalam hidup kita
menjadi menteri, bintang dan bulan
menjadi mata air dan salju
menghias sepi dalam ruang hidup
menambahkan bingit keriangan.
Rezeki Tuhan datang mencurah
hijrah kita dari tanah kenyalang
ke bumi Mat Kilau,
Dato Bahaman tersenyum
menyambut kelahiran Khairunnisa’,
di hospital Mentakab
Abdul Mujib dan Khairunnajihah
di klinik Keluarga
bebanmu kian bertambah.
Dalam waktu menjadi ibu dan kekasih
kau selesa pula menabur bakti di sekolah
menjadi pengajar dan pendidik anak felda
yang berkerut dengan cita di dahi hati
duniamu semakin luas
mengajar dan membasuh kepandaian
dengan akal dan tekun sabar.
Hidup selesa dalam sederhana
dikepung ladang sawit dan rumah peneroka
anak-anak kian membesar dalam asuh kasih
kita tak sempat berfikir tentang masa depan
berpindah pula ke tanah Ulu Yam
sekolah Sains menyambut dingin
udara banjaran Titiwangsa dan suara burung
di tepi air terjun Sungai Tua
menyejukkan resah di jiwa.
Aku berulang-alik ke bumi cendekiawan
bertolak pagi dan pulang hampir malam
anak-anak bersekolah pagi dan petang
dalam diam-diam tanpa banyak merancang
lahir pula Abdul Munir yang comel
tetapi Tuhan telah menentukan.
Tiga tahun mengirup udara Ulu Yam,namun
wangian ilmuwan Tanjong Malim
lebih kuat menusuk di jantung
kita berpindah dengan upaya sederhana
membina hidup di rumah sendiri
setelah sepuluh tahun ke sana sini
menumpang teduh di rumah yang diberi.
Hari ini 8 November 2012
genap 20 tahun kita hidup bersama
merasai masam manis pengalaman
apa yang kurang dariku
atas segala salah silapku
keterlanjuran dan sikap burukku
engkau maafkanlah
kerana maafmu adalah dingin salju
yang menyejuk hatiku,
maafmu adalah tanda undang
terpampan di pintu Syurga.
Engkau padaku
tetap seperti yang kukenali dulu
wajahmu tetaplah tawanan padanganku
buruk baik sikapmu adalah
asam garam yang memaniskan hidupku
tiada yang kusimpan untuk disakiti
tiada yang kubuang tanda benci
apa yang diberikan Tuhan darimu buatku
adalah rezeki yang sentiasa kusyukuri.
Hari ini kita melangkah lagi
jangan ada di antara kita sakit menyakiti
menyimpan dendam dan sakit hati
maafilah daku sebagaimana
engkau yang sentiasa kumaafi.
Syukuri dengan pemberian Ilahi
anak-anak,
harta benda dan kelapangan hidup
sebenarnya telah banyak menyedarkanku
ia bukan sekadar rezeki
tetapi imanku yang ingin diuji
kuakui kelemahan tatkala tewas dan menyerah diri
pada kehendak rasa dan hati
tetapi Tini, kau jauh lebih memahami
terima kasih kerana apa yang terlebih
kau sedia menyimpannya di dalam hati.
Aku berasa gembira dengan kehadiran Muhaimin
biarpun kau terpaksa bersusah payah
menahan derita rasa kerana ditinggalkan
menahan derita sakit melahirkan
susah payahmu sebenarnya
kuhimpun dalam doa suci di setiap penjuru Mekah
kugenapkan syukurku di Arafah
tatakala Muhaimin selamat dilahirkan.
Tini sayangku,
andainya esok tatkala kau bangun
dan aku tiada lagi di sisimu
jangan terlalu menangisi daku yang pergi
pesani anak-anak agar krimkan buatku
doa
dan bacaan Ayat-ayat suci
moga Tuhan merahmatiku di alam sana.
Tini yang kukasihi
20 puluh tahun berlalu
pahit manis berkongsi hidup denganmu
kekal utuh di pangkal hatiku
dan esok kita tetap menadah tangan terbuka
pada setiap waktu Dhuha
menghantar doa kasturi ke langit
moga hidupmu dan hidupku
direzekikan bersisa
dalam Barakah dan Rahmat Ilahi.
27,Anjung Pelangi
Tanjong Malim, Perak.
8.11.2012
D'TIRAI ANJUNG
Selamat datang ke blog Anjung Puisi. Blog ini menghimpunkan dan menyiarkan karya-karya puisi Melayu moden dan tradisional, artikel tentang puisi Melayu, peristiwa, aktiviti yang berkait dengan puisi di seluruh tanah air dan lain-lain. Moga para pembaca dan menimba manfaat dan memperolehi ketenangan tatkala melayari blog ini. - a. halim ali
Langgan:
Catatan (Atom)