D'TIRAI ANJUNG

Selamat datang ke blog Anjung Puisi. Blog ini menghimpunkan dan menyiarkan karya-karya puisi Melayu moden dan tradisional, artikel tentang puisi Melayu, peristiwa, aktiviti yang berkait dengan puisi di seluruh tanah air dan lain-lain. Moga para pembaca dan menimba manfaat dan memperolehi ketenangan tatkala melayari blog ini. - a. halim ali




Rabu, 10 Julai 2013

(Sajak Belangsungkawa buat allahyarham Tan Sri Dr Awang Had Salleh



SELAMANYA BAIK BUDIMU DALAM INGATAN
(Belangsungkawa buat allahyarham Tan Sri Dr Awang Had Salleh)

Pergi jua engkau hai Sang Budiman
setelah puluhan tahun berkelana
dari ruang kecil ke dataran terbuka
membuka pintu kepandaian
dengan lidah dan cekal akal
dengan sabar dan tekad di jiwa.

Entah berapa banyak keringatmu tumpah
darah dan laut air mata
mengombak semangat ke pantai ilmu
buah fikir dan limpahan tinta
lebaran persuratan ribuan berhelaian
membentang kebijaksanaan,
kamilah anak bangsa berdiri di gigi air
meraut kepandaian daripada cendekiamu
yang tumbuh subur
menjadi pulau dan karang di laut
menjadi rembulan dan bintang di langit
menjadi mentari memancar suria pagi
menjadi hamparan tempat embun bertaut
hingga kini tak mampu
kami menghitung banyaknya.

Apa sahaja yang datang daripada lidah
dan mindamu,
tentang tulis baca, minda merdeka
tentang seni berbahasa dan keelokan budaya
dan dari hal bangsamu yang ingat-ingat lupa
jati diri Melayunya,
dari hal bahasamu yang agung tapi kelemasan
dalam gelombang masa depan,
Kau titip, kau sisip kau cicip lembut
tetapi tajam berbisa.

Atas keluhuran jasa baktimu
ketinggian budi dan curahan ilmu
kami doakan ia menjadi tuaian harum
kelak mewangikan amalanmu di sana
kami yang masih tinggal di sini tidak akan lupa
menghantar doa dan zikir kasturi ke langit
dan menyimpan selamanya baik budimu
dalam ingatan sepanjang zaman.

upsi
2 Jun 2013

Sabtu, 22 Jun 2013

KASTURI (sajak PTS kepada NS)



Umpama menteri menampak diri di birai pagi
 kelopak bunga menguntum harum
jauh di anjung tinggi
mekar indahmu menambat rasa
bayu senja bertiup
menutup wajah malu
menyimpan rahsia kasturi.

Sepi malam membuka resah di kamar
menghantar pertanyaan hati
apakah esok masih terbuka tirai
mekar kasturi berkali di wajah mentari?

Aku yang kehausan harum
perlahan-lahan menghulur jemari
meraut wangian kasturi yang masih misteri
akan rebahkah aku di anjung tinggi?

t. malim 14.6.2013

Selasa, 9 April 2013

MASAM MANIS 20 TAHUN YANG LALU
 (buat Tini, isteri dan teman tersayang: mengenang 20 tahun usia perkahwinan kita)

Tanggal 8.11.1992, 20 tahun lalu
pertama kali dahimu kukucup
setelah ijab mengangkat tabir malumu
sungai madu pun mengalir perlahan,
dan alam pun menghantar resah ke kamar

seperti anak-anak di bangku sekolah
sukar sekali menulis rasa di alis mata
sukar benar melukis bahagia dengan bicara
dua tapak tangan kubuka
 meraut kasihmu yang tumpah
dari hati ke ujung kaki.

Tanggal 9.11.1993
saat getir kau melahirkan anak pertama
kesakitan yang manis dan manis yang indah
mengiring kehadiran Abdul Muiz masuk ke dalam hidup kita
menjadi menteri, bintang dan bulan
menjadi mata air dan salju
menghias sepi dalam ruang hidup
 menambahkan bingit keriangan.

Rezeki Tuhan datang mencurah
hijrah kita dari tanah kenyalang ke bumi Mat Kilau,
Dato Bahaman tersenyum menyambut kelahiran Khairunnisa’,
di hospital Mentakab Abdul Mujib dan Khairunnajihah di klinik Keluarga
bebanmu kian bertambah.

Dalam waktu menjadi ibu dan kekasih
kau selesa pula menabur bakti di sekolah
menjadi pengajar dan pendidik anak felda
yang berkerut dengan cita di dahi hati
duniamu semakin luas
mengajar dan membasuh kepandaian
dengan akal dan tekun sabar.

Hidup selesa dalam sederhana
dikepung ladang sawit dan rumah peneroka
anak-anak kian membesar dalam asuh kasih
kita tak sempat berfikir tentang masa depan
berpindah pula ke tanah Ulu Yam
sekolah Sains menyambut dingin
udara banjaran Titiwangsa dan suara burung di tepi air terjun Sungai Tua
menyejukkan resah di jiwa.

Aku berulang-alik ke bumi cendekiawan
bertolak pagi dan pulang hampir malam
anak-anak bersekolah pagi dan petang
dalam diam-diam tanpa banyak merancang
 lahir pula Abdul Munir yang comel
tetapi Tuhan telah menentukan.

Tiga tahun mengirup udara Ulu Yam,namun
wangian ilmuwan Tanjong Malim lebih kuat menusuk di jantung
kita berpindah dengan upaya sederhana
membina hidup di rumah sendiri
setelah sepuluh tahun ke sana sini
menumpang teduh di rumah yang diberi.

Hari ini 8 November 2012
genap 20 tahun kita hidup bersama
merasai masam manis pengalaman
apa yang kurang dariku
atas segala salah silapku
keterlanjuran dan sikap burukku
engkau maafkanlah
kerana maafmu adalah dingin salju
yang menyejuk hatiku,
maafmu adalah tanda undang terpampan di pintu Syurga.

Engkau padaku tetap seperti yang kukenali dulu
wajahmu tetaplah tawanan padanganku
buruk baik sikapmu adalah asam garam yang memaniskan hidupku
tiada yang kusimpan untuk disakiti
tiada yang kubuang tanda benci
apa yang diberikan Tuhan darimu buatku
adalah rezeki yang sentiasa kusyukuri.

Hari ini kita melangkah lagi
jangan ada di antara kita sakit menyakiti
menyimpan dendam dan sakit hati
 maafilah daku sebagaimana engkau yang sentiasa kumaafi.

Syukuri dengan pemberian Ilahi anak-anak,
harta benda dan kelapangan hidup
sebenarnya telah banyak menyedarkanku
ia bukan sekadar rezeki
tetapi imanku yang ingin diuji
kuakui kelemahan tatkala tewas dan menyerah diri
pada kehendak rasa dan hati
tetapi Tini, kau jauh lebih memahami
terima kasih kerana apa yang terlebih
kau sedia menyimpannya di dalam hati.

Aku berasa gembira dengan kehadiran Muhaimin
biarpun kau terpaksa bersusah payah
menahan derita rasa kerana ditinggalkan
menahan derita sakit melahirkan
susah payahmu sebenarnya
kuhimpun dalam doa suci di setiap penjuru Mekah
kugenapkan syukurku di Arafah
tatakala Muhaimin selamat dilahirkan.

Tini sayangku,
andainya esok tatkala kau bangun
dan aku tiada lagi di sisimu
jangan terlalu menangisi daku yang pergi
pesani anak-anak agar krimkan buatku doa
dan bacaan Ayat-ayat suci
moga Tuhan merahmatiku di alam sana.

Tini yang kukasihi
20 puluh tahun berlalu
pahit manis berkongsi hidup denganmu
 kekal utuh di pangkal hatiku
dan esok kita tetap menadah tangan terbuka pada setiap waktu Dhuha
menghantar doa kasturi ke langit
moga hidupmu dan hidupku direzekikan bersisa
dalam Barakah dan Rahmat Ilahi.

27,Anjung Pelangi
Tanjong Malim, Perak. 8.11.2012