D'TIRAI ANJUNG

Selamat datang ke blog Anjung Puisi. Blog ini menghimpunkan dan menyiarkan karya-karya puisi Melayu moden dan tradisional, artikel tentang puisi Melayu, peristiwa, aktiviti yang berkait dengan puisi di seluruh tanah air dan lain-lain. Moga para pembaca dan menimba manfaat dan memperolehi ketenangan tatkala melayari blog ini. - a. halim ali




Isnin, 17 Mei 2010

BUAT YANG TERDIDIK OLEH SEORANG GURU

Simpanlah di ingatanmu

Kenalkah kau suara air menitis pada keras batu
mengukir wajah tekun pada alur dan kerikil tajam
sepi di gua menafsir lembut zikir syahdunya
melarik runcing stalaktit
melentur cerancangan stalagmit
gua hidup menghampar dalam gelapmu
ketabahan dan ketekunan jitu
manusia bergelar guru.

Masih ingatkan kau pada gelita malam
tatkala manusia nanar dalam pencarian
mencari jejak yang retak
meneka takdir mimpi
dengan lembut dia berdiri menabur bakti
memberimu cahaya dari sinar tuhannya
biarpun sedikit demi sedikit
titis demi titis luruh
terbakar dan kehilangan diri,
kehilangannya tak pernah berganti.

Lupakah kau pada pengukir itu
tekun dia mengukir mimpi
melarik cinta hari dewasa
berapa banyak debu pahit
berjelaga dalam hati
berkumpul di pangkal jantung, hingga
arca hidupnya retak seribu
mimpimu juga ditenung diukir
menjadi gambar abadi.

Dialah
lembut suara air di tengah gua batu
guru yang faham erti kepayahan
menyulam perkerti dalam manis budi.
Dialah
dian kerdil memberi suluh pencarian
pendidik yang menerima kepayahan
demi kesenangan anak didik di hari muka.

Dialah
penekun tabah mengukir waktu
pengajar bermandi keringat
dalam debu dan batu-batu.

Dialah
Manusia kecil yang sering memberi
apa yang kita tidak tahu
menafsir rahsia ilmu
yang tertulis dengan bahasa kalbu.

Simpanlah di ingatanmu
diksi kata pujangga;
Guru laksana ombak
tak jemu-jemu mendambai pantai

Guru seumpama dian
membakar diri menerangi cahaya

Guru ibarat pengukir
menitip jejak perjalanan hari muka

Guru bagaikan suara air di gua
tekun titis lembut membelah batu.


Karya,
a.halim ali
UPSI, Tanjung, Malim.
15 Julai 2008.

Khamis, 13 Mei 2010

JAWAPAN TEKA TEKI

Tanpa nama menjawab ` dipanggil polis`

saya:

pohon manggis pohon sentul
jawapan anda memang betul.

tahniah.

kerbau tua rajin membajak
anda memang \orang bijak

Selasa, 11 Mei 2010

SAJAK TERKINI

bayu tak upaya bertiup lagi


i
semalam bila dikenangkan
kau adalah tetamu pantai
berdiri di gigi air
bermain dengan camar
melukis diksi cinta dalam kuning pasir
kerap kali kau jatuh dikejar ombak
menitis air matamu di laut
mengenang mimpimu
yang retak di pulau.

ii
Deru manja bayu senja
Singgah di matamu
Mengulit suara mesra
Memberimu kekuatan meningkah ombak
Menyulam kasih dalam pasir pantai.
Itulah aku, bayu senja
yang bertiup dari ufuk rasa
merentas saujana budi
memimpin jemarimu
beredar dari senja berduri.


iii
sesekali direnung hari ini
tatkala mentari kian tinggi
kau betah mencari jalan sendiri
menafsir ombak dengan lagu peribadi
mentari adalah suluhan abadi
bayu kian jauh kau tinggalkan pergi
dia tak upaya bertiup lagi.


a.halim
5 Mei 2010

Khamis, 6 Mei 2010

SAJAK TERBAHARU

wahai bahagia
sambutlah tetamumu ini



i
sekian lama dia berdiri di laman cahayamu
mengetuk pintu bahagia
buka dan sambutlah tetamumu ini,
cucuri di ujung jemari kakinya
penawar lelah,
serapahi luka di lubuk hatinya
buat penawar nestapa.

Dia datang dari perjalanan jauh
menempuh gelita malam
dan dingin yang mengigit
telah lama dia kehilangan tawa
telah lama dia dihambat derita
mentari semakin malu
menyuluh tabir peribadi
angin sahara masih keras dan ngilu
menikam jantungnya
aku hanyalah penyair di laut
yang sekadar tahu bermain diksi
dan menagih bahagia dalam puisi.

ii
terima kasih bahagia
kerana menyambut dia yang menunggumu
dengan memberikan padanya kekasih
tutuplah pintu lamanmu dari ketukan masa lalu
dan suara kasih yang membisik,
aku yang jauh di sini
tetap mengasah doa di langit
menghantar zikir kasturi
agar dia kekal abadi
menjadi tamumu yang sejati.


upsi
6 mei 2010